Tarian Zapin
Asal tarian
Mengikut sejarah tarian Zapin, pada mulanya tarian ini adalah sebagai tarian hiburan di istana setelah dibawa dari Hadramaut, Yaman oleh para pedagang Arab pada awal abad ke-16. Pada masa itu negeri Johor Melaka sebagai sebuah entrepot antarabangsa pada kurun ke-16. Tarian zapin ini kemudiannya merebak ke negeri-negeri sekitar Johor seperti di Riau, iaitu pusat pemerintahan Johor lama, Singapura, wilayah Sarawak, dan Brunei Darussalam.
Tarian Zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di Nusantara iaitu di Semanjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya adalah:
Di Johor, tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam dan berfungsi sebagai hiburan sama ada pada upacara-upacara sekular mahupun pada sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun lahir daripada adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.
Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan sesama mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu di samping meminggirkan persaingan antara pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan. Jika ditinjau daripada perspektif inilah,maka keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor amat terserlah.
Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas. Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan gesekan biola.
SUMBER:
- http://ms.wikipedia.org /wiki/Tarian_tradisional_melayu
- http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Zapin
No comments:
Post a Comment